HaTi MaTi..

Bicara Ahmad Firdaus Fuzai | 3:03 AM | 1 Respon »


Saya berdiri di satu sudut sambil memerhati sebatang tubuh yang sedang menunaikan solat malam di dalam bilik saya. Kelihatan qiamnya agak lama, begitu juga rukuk dan sujudnya. Saya terus merapati dan mengamati parasnya.

Iras wajahnya jernih, menenangkan hati orang-orang yang memandang. Mungkin inilah percikan nur dan tanda-tanda orang beriman; bisik hati saya. Saya lantas berdiri setapak dibelakang untuk menjadi makmumnya. Heningnya malam itu sungguh mengamankan.

Tak lama kemudian, saya merasakan ada sesuatu yang aneh. Seperti ada bau yang sungguh kurang menyenangkan memenuhi ruang. Busuk! Liar mata saya mencari asal bau yang memedihkan deria tu. Terlintas dalam fikiran kucing oren yang selalu menyibuk ketika usrah kami. Tapi takkan kucing tu boleh mati dalam bilik saya? Takkan Fakhry (a.k.a Tok Ayoh) dah bunuh kucing tu sebab geram sangat?

Terus terganggu khusyu' saya selepas tu.

Ketika sujud, saya mendapati ada ulat-ulat sampah menuruni baju saya daripada dada, jatuh satu persatu ke atas sejadah. Masih bergerak-gerak dan kemudiannya kaku.

Ya Allah, bau itu datangnya daripada badan saya sendiri. Ternampak hitam-legam organ yang sudah memburuk dan bernanah. Mereput.

Sangat menjijikkan!

Saya jadi terbayang-bayang apa yang dah saya lakukan seharian. Setiap hari yang saya lalui semestinya saya lazimi dengan melakukan maksiat. Kalau orang-orang yang beriman rasa bersalah dengan meninggalkan ibadah, saya pula rasa tak sempurna sehari dengan tak melakukan maksiat.

Kalaulah Allah jadikan dosa itu ada bau, dah tentu tak ada seorang pun yang nak berkawan dengan saya. Entah dah macam mana saya sekarang. Entah-entah saya diasingkan dipulau terpencil jauh dari sekalian orang. Setiap hari semakin kotor dan meloyakan. Saya sendiri boleh mati dengan dosa saya sendiri.

Tiba-tiba terlintas azab yang memedihkan yang disediakan buat saya. Dihimpunkan beramai-ramai dalam panas dan kehausan mahsyar. Dihisab amalan-amalan kebaikan yang kebanyakannya tertolak, lalu dosa-dosa yang mendominasi timbangan.

Hancur luluh dada bila memerhatikan dengan mata sendiri, sebuah lembah berwarna hitam legam didatangkan di hadapan saya. Langsung tak ternampak dasar kedalamannya. Geseran rantai kedengaran sungguh menyeramkan. Lembah itu memekik. Ia melaung-laungkan nama saya untuk menjadi tamu kekal. Pekikan yang memekakkan telinga!

Lalu dengan sekali libasan, saya dicampak ke dalamnya.

Pedih, seksa. Itu setakat kepedihan yang saya mampu bayangkan. Saya yakin realitinya bahkan jauh lebih azab daripada itu. Namun saya masih sayang untuk meninggalkan iltizam saya pada maksiat.

Saya bersolat, namun masih lalai hati. Mendengarkan ayat-ayat al-Quran pun tak menyebabkan hati saya insaf.

Lidah berat nak menyebut Allah. Hati berat nak mengingati Allah.

Saya bangkit daripada sujud dan mendapati tiada seorang pun disekeliling. Saya berseorangan di dalam bilik. Entah dari mana dan ke mana pergi sosok yang menjadi imam saya tadi.

Lalu saya bergegas memperbaharui wudhu' dan memohon pada Allah.

Dalam sujud, saya berdoa sungguh-sungguh meminta hati yang baru. Hati yang sedia ada ini selalu lalai dan pada hakikatnya dah pun lama mati.

Ya Allah, aku ini hamba-Mu yang penuh dengan dosa, yang sudah tahu akan keberadaanku kelak di mana akhirnya tanpa belas ihsan-Mu. Meskipun malu untuk menyebutkan, namun aku tetap ingin nak merayu ruang dan peluang ke Syurga-Mu, ya Rabb.

Kerana aku yakin ya Allah, pengampunan-Mu jauh lebih luas berbanding dosa-dosa yang dilakukan setiap hamba-Mu.

"Ya Allah, kurniakanku hati yang lain.."

1 Respon

  1. cikeh kawaii // January 21, 2011 10:10 AM  

    tersedar...